SHAH ALAM, 19 Januari – Kempen Kesedaran Penjagaan Kesihatan – Penuaan Sihat, anjuran bersama Pusat Pembelajaran (PP) OUM Shah Alam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan organisasi Wanita Berdaya Selangor (WBS) berjaya menarik perhatian komuniti setempat apabila berlangsung dengan meriah di Dewan Komuniti Reflesia.
Program ini telah menerima sambutan hangat daripada komuniti setempat, dengan kehadiran peserta dari pelbagai peringkat umur. Kempen ini turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu kehormat, iaitu YBhg Tan Sri Mohd Shariff Omar, mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Encik Muhammad Shakir Ameer Mohideen, Ahli Majlis MBSA Zon 22; dan Puan Aslinda Tahsim, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA.
Kempen ini telah menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang memberi manfaat kepada para pengunjung, antaranya:
- Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM, yang memberi peluang kepada peserta untuk menilai tahap kesihatan mereka.
- Sesi Interaktif Bersama Pakar yang menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan fizikal dan mental.
- Pameran dan Demonstrasi Kesihatan yang memberi kesedaran tentang pentingnya gaya hidup sihat.
- Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak yang memeriahkan suasana.
- Aktiviti Zumba dan Senaman yang menyeronokkan dan meningkatkan kesihatan peserta.
- Konsultasi Pengajian Percuma oleh OUM untuk mereka yang berminat melanjutkan pelajaran.
- Cabutan Bertuah dengan hadiah istimewa sebagai tarikan tambahan.
“Penuaan yang sihat adalah kunci kepada kehidupan yang lebih bermakna,” ujar Pengarah PP Shah Alam, Encik Ramash Ananth Ganeson, yang giat melayan pelawat yang mengunjungi kempen tersebut.
Tambah beliau, “Kempen ini tidak hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan tetapi juga memupuk semangat komuniti untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, aktif, dan bermakna.”
Semoga inisiatif sebegini terus menjadi pemangkin ke arah masyarakat yang lebih sihat dan berdaya maju.