OUM jalin kerjasama dengan sukarelawan Komuniti Bandar Baru Bangi

Bekerjasama dengan sukarelawan Komuniti Bandar Baru Bangi (BBBC) adalah satu inisiatif pertama Open University Malaysia (OUM).

Ia dalam usaha memperluaskan rangkaian mereka dalam bidang akademik dengan menjalankan program Free Market di tempat letak kereta universiti itu di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 25 Januari.

Kerjasama itu adalah inisiatif dalam memberikan pakaian, barangan dan makanan secara percuma kepada pengunjung tempatan yang memerlukan sempena musim kembali ke sekolah, Tahun Baru Cina dan Aidilfitri.

Menurut Pengarah OUM Bandar Baru Bangi, Siti Haniza Zahari, kerjasama terbabit adalah julung kali diadakan universiti berkenaan.

“Kami mahu melebarkan sayap dalam memperkenalkan institusi ini dengan menjalinkan kerjasama dengan sukarelawan tempatan.

“Malah kami memilih untuk bekerjasama dengan BBBC kerana mereka sudah ada komuniti yang tersendiri dan ia mudah untuk kami menerima pengunjung ketika program dijalankan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Siti Haniza, ia adalah satu inisiatif untuk memperkenalkan institusi pendidikan terbabit yang sudah berada di Bangi selama lebih 10 tahun.

“Pihak kami juga menyediakan tapak letak kereta berhadapan dengan bangunan universiti yang berada di bawah kelolaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) untuk program berkenaan berjalan dengan lancar.

“Menerusi program ini kami dapat mengenali komuniti yang mempunyai sosio ekonomi berbeza dan pelbagai lapisan masyarakat yang menetap di kawasan Bangi ini,” katanya.

Menurut Aktivis Masyarakat, Sukarelawan Negara dan Pengasas Bersama kumpulan sukarelawan BBBC, Kelana Putra Muhamad, 53, pula program itu dianjurkan kali ketiga bertujuan untuk memberi peluang individu dalam komuniti merasa mempunyai barangan dan tidak dikenakan sebarang pembayaran.

“Free market adalah program di mana kami menawarkan semua barangan termasuk pakaian dan minuman secara percuma kepada komuniti setempat.

“Semua pakaian dan barangan terpakai adalah sumbangan orang ramai dan daripada koleksi pakaian saya sendiri,” katanya.

Menurut Kelana, pakaian yang masih dalam kualiti baik sahaja juga disumbangkan kepada pengunjung ketika program berjalan.

“Antara barangan yang kami terima untuk disumbangkan kepada pengunjung adalah kasut, selimut, barang perhiasan, pakaian, mainan lembut, barangan rumah dan beg.

“Kami juga membuka ruang kepada mana-mana individu yang mahu menyumbangkan barangan masing-masing. Mereka boleh buka but kereta masing-masing di tapak Free Market atau serahkan barangan kepada sukarelawan.

“Menerusi kerjasama dengan Life Line Clothing Malaysia (LLCM), penyumbang yang hadir juga dapat mengitar semula barang terpakai mereka,” katanya yang memaklumkan kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir memeriahkan program berkenaan

Malah pengunjung yang turut hadir bersama anak mereka juga mendapat sumbangan peralatan sekolah yang disumbangkan Ahli Majlis Zon 16 Bangi, Mohd Bukhari Bachok.

Turut hadir Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang beramah mesra dan menyerahkan beg sekolah, peralatan sekolah dan mengagihkan buah limau kepada pengunjung.

“Kerjasama ini adalah satu tujuan untuk memberi dan menerima dari komuniti untuk komuniti.

“Saya amat menghargai kerjasama antara OUM dan komuniti setempat serta MPKJ yang berganding bahu dalam menjayakan program Free Market ini,” kata Syahredzan.

Sumber dan gambar: https://www.hmetro.com.my/akademia/2025/02/1183211/bbbc-oum-jalin-kerjasama

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)