Pelajar OUM terima Anugerah Negeri Sembilan

20 Januari

SERI KEMBANGAN – Pelajar program Doktor Falsafah (Sastera) Atriza Umar, telah dianugerahkan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) kerajaan Negeri Sembilan.

Pengurniaan ini telah berlangsung pada sesi kedua istiadat penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat kerajaan Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Majlis penuh adat istiadat tersebut diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Isnin, 20 Januari lalu.

Pingat PMC merupakan pengiktirafan terhadap individu yang memberikan khidmat bakti luar biasa kepada masyarakat. Atriza menyatakan penghargaannya dipilih untuk menerima anugerah tersebut.

“PMC bukan sekadar perhiasan di dada. Ia merupakan simbol pengorbanan, dedikasi dan khidmat bakti yang telah dicurahkan. Para penerima membuktikan bahawa kejayaan sejati bukan diukur dengan kekayaan material, tetapi dengan impak positif kepada kehidupan orang lain,” kata Atriza, yang juga merupakan pegawai kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat di Ibu Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, “Sebagaimana kata yang sering diungkapkan, ‘Jadilah manusia yang memanusiakan manusia.’ Penganugerahan ini sangat bermakna untuk saya terus memberikan manfaat dan menjadi yang bermanfaat buat diri dan ummah.”

Atriza yang juga ahli IKRAM kawasan Serdang, menjelaskan bahawa penerimaan PMC bukan penamat, tetapi permulaan kepada cabaran baharu.

“Pingat ini adalah amanah untuk terus mempertingkatkan mutu khidmat. Ia menggalakkan saya membimbing lebih ramai individu untuk turut berbakti.”

“Dengan kemahiran dan kompetensi yang ada, saya berazam menyebarkan penulisan yang baik, memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat. Semua ini adalah usaha memastikan perkhidmatan yang bermanfaat dapat dihamparkan, demi kesejahteraan bersama,” tambahnya lagi.

Sumber: ikram.org.my

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)