Menurut Pengarah Program Dr Ezzah ‘Afifah Nasrudin, “Program ini mempunyai tagline ‘fleksibel, inovatif dan transformatif’ kerana ia direka untuk memenuhi keperluan guru-guru Bahasa Melayu yang berhasrat meningkatkan profesionalisme mereka dalam bidang pendidikan.”
Program ini dilancarkan atas permintaan pasaran yang tinggi terhadap kepakaran dalam Bahasa Melayu. “Pengetahuan tentang bahasa adalah kemahiran penting tidak kira dalam industri apa sekalipun, dan penguasaan lebih lanjut dalam bidang ini akan memberikan manfaat kepada mereka yang bersemangat untuk belajar,” jelas Dr Ezzah.
Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu menawarkan pendekatan pembelajaran yang unik dan fleksibel, membolehkan para guru untuk belajar sambil mengajar. Keistimewaan program ini terserlah melalui sistem pembelajaran dalam talian yang menyediakan sesi kuliah secara langsung, forum perbincangan, bahan pembelajaran digital, dan video pembelajaran interaktif. Para pelajar juga diberi akses kepada modul pembelajaran kendiri dan bahan rujukan digital yang memudahkan proses pembelajaran mereka.
Dari segi kandungan, program ini menawarkan kursus-kursus yang menggabungkan teori dan praktis. Contohnya, Teori Linguistik, Psikolinguistik, dan Sosiolinguistik memberi pendedahan mendalam tentang pendekatan terkini dalam pengajaran bahasa, manakala Kursus Inovasi Pedagogi dan Pengajaran Kemahiran Bahasa Melayu pula memperkenalkan pendekatan pengajaran kontemporari yang mengintegrasikan teknologi terkini dalam pedagogi.
Aspek penyelidikan turut diberi penekanan melalui kursus Kaedah Penyelidikan dan Kertas Projek, agar guru bukan sahaja mahir dalam pedagogi tetapi juga berkemampuan menjalankan penyelidikan untuk menambah baik amalan pengajaran. Pendekatan ini penting dalam usaha mengembangkan korpus penyelidikan dalam bidang pendidikan bahasa Melayu di Malaysia.
Program ini juga menyokong transformasi pendidikan guru yang dilaksanakan oleh KPM, selaras dengan penetapan syarat minimum kelayakan guru baharu untuk masa hadapan. Usaha ini penting dalam memastikan guru-guru Malaysia memiliki tahap profesionalisme yang tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.
Kesimpulannya, Program Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu ini merupakan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Dengan menghasilkan lebih ramai sarjana dalam bidang pendidikan bahasa Melayu, program ini boleh menyumbang kepada pengukuhan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik yang mampu menyampaikan ilmu pengetahuan tinggi, selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.