SIWANIS ialah program simulasi Sidang Dewan Negeri Selangor bertujuan membentuk pemimpin wanita berkualiti yang mampu menguasai isu, dasar, dan tadbir urus dengan baik, ke arah kesaksamaan gender, terutamanya di peringkat pembuatan keputusan dan dasar.
Kami berkesempatan mendapatkan bingkisan kisah daripada Nur Nabila, 38, tentang penglibatannya:
16 Disember 2024: Sidang Kemuncak SIWANIS 2024
5.00 pagi – 1.00 tengahari, DUN Selangor, Shah Alam
Tepat jam 5 pagi, saya sudah terjaga dari lena. Darah gemuruh mula meresap. Saya selesaikan tugas hakiki sebagai isteri, ibu dan usahawan sebelum melangkah menuju ke Kemuncak Sidang Wanita dengan ditermani ibu tercinta.
Berpakaian tema barbie pink, blazer hitam, wajah yang bersolek tak kurang sedikit pun rasanya menjadi seperti seorang perwakilan yang sebenar. Saya terfikir: Adakah satu hari nanti aku akan menjadi perwakilan sebenar?
Kesemua 56 perwakilan wanita berhimpun di hadapan Dewan DUN Selangor untuk upacara ikrar bersama-sama dengan YB Anfaal Shaari, Exco Pembangunan Wanita & Masyarakat Negeri Selangor, Speaker Dewan YB Tuan Lau Wen San, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Saing (WBS) Puan Siti Faridah Abdul Samad serta urus setia WBS.
Selesai bacaan ikrar, kami masuk dan mengambil tempat di dalam dewan mengikut Adun yang diberikan, dan mengeluarkan segala dokumen serta teks jawapan sementara menanti YB Tuan Speaker masuk.
9.45 pagi – 1.00 tengahari: Sesi Jawab Lisan & Sesi Bahas
Usul 1: Menggurangkan Kos Sara Hidup Golongan Rentan Di Selangor Khususnya Dalam Bidang Pengangkutan
YB Tuan Speaker masuk ke dewan dan semua berdiri menghormati beliau. Sesi jawab lisan dimulakan dengan Adun Teratai menyoal dan exco menjawab tanpa sebarang celahan oleh backbenchers kerana setiap soalan harus dijawab oleh exco sahaja.
Ia diikuti sesi perbahasan bagi usul pertama iaitu kos sara hidup bagi golongan rentan. Hujah yang dibawa merangkumi pandangan golongan muda hingga yang berusia, lokal dan nasional. Kami dituntut untuk berfikir secara kritis, menyusun hujah dengan kukuh, dan memberi cadangan yang berdaya saing.
2.30 – 5.00 petang: Sesi Bahas
Usul 2: Meletakkan Minima 50% Penglibatan Wanita dalam Bidang Politik
(Saya Backbenchers Kerajaan Yang Dirahsiakan)
Sesi berbahas diteruskan bagi usul kedua, iaitu tentang kuota wanita. Panas, bahang, dan tegang adalah situasi yang saya rasakan. Isu ini sememangnya ingin kami angkat untuk direalisasikan segera. Sesi dimulakan mengikut turutan Adun yang telah ditetapkan.
Pelbagai jenis soalan dan penyataan ditebar oleh pihak lawan. Provokasi dan celahan soalan adalah taktik backbenchers untuk menghidupkan suasana. Kekecohan dikala berbahas mengguji kekuatan mental dan emosi pembahas.
Backbenchers bukan sekadar menyokong tetapi juga menyatakan prinsip dan pegangan kepada perkara yang perlu atau tidak termasuk juga sokongan moral terhadap ahli politik dan parti politik serta memastikan segala usul yang baik dapat dilaksanakan.
Ketika giliran saya muncul, saya mencadangkan pelaksanaan dana khas. Saya menyarankan agar insentif diteruskan dan ditambah jumlah dana sedia ada bagi setiap parti politik yang berjaya mencapai sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita. Pada pendapat saya, tindakan ini boleh menarik lebih ramai wanita untuk bertanding.
Saya juga meminta agar kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengendalikan dana ini dengan telus dan amanah. Ahli jawatankuasa ini haruslah diisi oleh mereka yang professional, berpengalaman serta mempunyai kredibiliti bagi memastikan penyaluran dana ini berlaku dengan sistematik.
Ketika saya sedang berbahas, ada yang bertanya mengapa perlu mengejar 50% penglibatan wanita sedangkan 30% pun belum dicapai.
Saya dengan tenang menjawab; “Apa tugas kita di sini…mengapa kita dipilih untuk menjadi perwakilan di sini…30% itu bukan sahaja tanggungjawab Yang Berkhidmat di kerajaan malah juga Yang Berkhidmat di kerajaan pembangkang. Ini adalah tanggungjawab kita bersama kerana kita memperjuangkan hak kita sebagai wanita; usul yang dibahaskan adalah berkenaan wanita bukan lelaki.”
Setiap lontaran jawapan saya mendapat sokongan dari rakan-rakan lain di blok Kerajaan yang menepuk meja. Tepukan itu menyemarakkan semangat saya untuk menyatakan lagi pendapat dan sekaligus memberikan jawapan yang bernoktah di mana pihak pembangkang ketika itu hanya mampu terdiam.
Di akhir perbahasan, saya menyeru supaya usul kedua ini dilaksanakan segera agar dapat menggalakkan penglibatan wanita dalam politik, memperkukuhkan kesetaraan gender, dan memperkayakan kualiti kepimpinan politik negara.
Jika dapat dilaksanakan dengan berkesan, insentif kewangan dan sokongan kepada parti politik yang memenuhi kuota wanita akan dapat mengubah budaya politik Malaysia menjadi lebih inklusif, berdaya saing, adil, seimbang dan lebih peka terhadap isu-isu gender.
Sokongan PP OUM Shah Alam
Saya bukan sahaja menerima sokongan baik dari ahli keluarga, sahabat-handai, rangkaian perniagaan dan peserta SIWANIS yang lain, tetapi juga dari Pengarah PP Shah Alam, Encik Ramash Ananth Ganeson. Sejak saya menyertai OUM sebagai pelajar jurusan Psikologi, beliau adalah di antara penyokong kuat penglibatan saya dalam apa jua program dan aktiviti di luar universiti. Sebagai pelajar yang aktif dan ahli jawatankuasa Kelab Sosial Pelajar di PP Shah Alam, saya kerap dipertanggungjawabkan menjadi emcee program.
Encik Ramash juga merupakan saksi perjalanan kerjaya saya. Setiap kali saya mendapat apa jua peluang atau menghadapi apa sahaja isu, saya akan berkongsi dengan beliau. Bimbingan, didikan dan nasihat Encik Ramash selalu saya utamakan kerana beliau sangat memahami keadaan saya sebagai seorang pelajar dan usahawan di dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Nasihat beliau tidak pernah tersasar kerana beliau sentiasa inginkan yang terbaik buat saya dan pelajar lain. Beliau sering mengingatkan saya tentang tanggungjawab, amanah, ketelusan dalam membuat perkara yang boleh memanfaatkan orang ramai.
Ketika saya memberitahu tentang penglibatan saya dalam program ini, beliau memberitahu, “I know you can do this, and I know this is your expertise. I know you can be one of them one day”.
Pada hari persidangan, Encik Ramash turut hadir menyaksikan sendiri penglibatan saya. Kami berkongsi pendapat tentang momen-momen tertentu dan seperti biasa beliau memberi kata-kata semangat kepada saya.
Saya amat terharu bila Encik Ramash memperkenalkan saya kepada YB Anfaal dan Ketua Pegawai Eksekutif WBS sebagai pelajar beliau. Terserlah sungguh kebanggaan di wajah beliau ketika itu.
Saya juga amat terharu di atas sokongan OUM terhadap WBS dan SIWANIS2024. Malah OUM merupakan salah satu rakan sokongan bagi program SIWANIS2024. Ini adalah bukti bahawa komitmen yang diberikan bukanlah semata mencari populariti tetapi ternyata OUM jelas akan misi dan objektif WBS.
Terima kasih kepada Encik Ramash dan kakitangan beliau yang sentiasa menyokong saya dari dulu hingga kini.