Tiada Undur, Tiada Kalah! Tip Mengatasi Pemikiran Cepat Berputus Asa

Baru-baru ini, Centre for Learner Affairs (CLA) telah mengadakan satu sesi bual bicara istimewa bersama Jude Stephen @ Judy Mingkong tentang cara-cara mengatasi pemikiran cepat berputus asa. Judy merupakan seorang alumni program Sarjana Muda Psikologi dan Sarjana Psikologi dari Kota Kinabalu. Beliau kini seorang pelajar dalam program PhD (Sastera) dan aktif dalam aktiviti sosial dan kerja amal di Sabah.

Berikut adalah sorotan daripada bual bicara tersebut. Semoga ia dapat memberi bermanfaat kepada semua pelajar OUM!

Sepanjang pengajian, pernahkah Judy rasa mahu berputus asa?

Ya, kerap kali timbul perasaan putus asa dalam diri saya. Kita hanya manusia biasa, namun OUM selalu menyelamatkan keadaan dan staf OUM selalu prihatin dengan keadaan pelajar seperti saya sehingga perasaan tertekan itu dapat diatasi dengan baik. Apa yang penting sebagai seorang pelajar, kita perlu set our mind bahawa kita adalah pelajar, maka kita perlu ada perancangan belajar, tetapkan matlamat, dan selalu konsisten dalam membuat sesuatu perkara. Kita juga perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa tekanan hanya sementara.

Apakah yang memotivasikan Judy untuk meneruskan pengajian walaupun menghadapi pelbagai rintangan?

Ayah saya seorang guru, dan beliau mengharapkan anak-anaknya supaya berpelajaran dan menjadi guru juga. Emak saya pula seorang suri rumah, menjaga anak-anak 24 jam. Kami menanam padi untuk mendapatkan sumber pendapatan tambahan. Keputusan SPM saya tidaklah berapa elok; dan saya terlepas peluang untuk masuk ke universiti awam. Maka, saya membuat keputusan saya harus membuat sesuatu untuk mengubah nasib saya.

Sumber inspirasi saya adalah ayah saya. Saya ingin tunaikan impiannya dengan menjadi seorang siswazah dan juga role model dalam keluarga. Saya berpegang teguh dengan pesanan ayah, iaitu, “Tiada undur, tiada kalah”.

Maka saya tahu saya perlu cuba sebaik yang mungkin.

Bagaimana pula cara Judy mengekalkan momentum ataupun semangat untuk terus belajar sehingga bergraduat?

Walaupun saya tahu setiap orang menghadapi masalah dan rintangan yang berbeza, saya selalu tetapkan pendirian supaya berfikiran positif, memotivasikan diri, dan mengingatkan diri tentang asal-usul saya. Saya datang dari kampung, keluarga saya susah, tetapi saya boleh lakukan yang terbaik.

Sebagai pelajar OUM, saya rasa seperti saya telah diberikan peluang kedua untuk menjadi seorang siswazah. Maka sebagai pelajar, saya tahu saya perlu tetapkan standard yang tinggi, dan perlu ada matlamat yang khusus dan kata-kata yang positif untuk diri sendiri agar boleh kekalkan semangat sehingga bergraduat.

Apa pesanan Judy buat pelajar OUM yang hampir berputus asa dalam meneruskan pengajian?

Pertama sekali, anda perlu dekatkan diri anda dengan Tuhan dan mohon bantuan daripadaNya. Kedua, anda perlu ada ketetapan minda yang kuat. Beritahu diri anda, “Anda lebih berani dari yang anda sangkakan, lebih kuat dari yang anda rasakan, dan lebih pintar dari yang anda fikirkan”.

Ingatlah, kejayaan itu adalah himpunan usaha kecil yang anda perlu buat berulang kali.

To get something you never had, you have to do something you never did. Ini juga kata-kata yang penting dalam hidup seorang pelajar. Anda perlu tetapkan matlamat dan pastikan matlamat itu tinggi! Saya bayangkan diri saya sebagai seorang pengajar; sekiranya saya tidak tahu, bagaimana saya boleh mengajar dengan baik? Ini mendorong saya supaya membaca modul beberapa kali sebelum masuk kelas supaya saya lebih faham.

Pesanan lain dari saya, anda perlu ada disiplin diri, konsisten, belajar dengan bijak, dan ada pengurusan masa serta energy management.

Saya harap tip-tip ini akan menjadi penguat semangat untuk semua pelajar OUM supaya terus maju dalam pengajian!

 

Oleh W Intan Munira Yusuf, Centre for Learner Affairs

Contact Us

Menara OUM,
Block C, Kompleks Kelana Centre Point,
Jalan SS7/19, Kelana Jaya,
47301 Petaling Jaya, Selangor
Malaysia

+603-7801 1800 (General Line)
+603-7801 2000 (Speed Line)
+6012-303 9935 / +6019-357 9074
admission@oum.edu.my
(Enquiries for New Intake & Registration Only)