Majlis konvokesyen bukanlah penamat bagi pemburuan kita mengejar ilmu, bahkan ia merupakan detik permulaan buat kita memajukan diri dan memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat serta negara kita yang tercinta.
Setinggi-tinggi penghargaan buat suami yang tercinta, Encik Farid kerana memberikan keizinan untuk saya menyambung pelajaran. Malah, beliau sangat menyokong dan membantu sepanjang perjalanan saya mendapatkan ijazah Sarjana ini. Tidak dilupakan insan tercinta arwah mak Hajah Che Dah, dan abah Encik Shahadan, keluarga serta kedua-dua anak saya, Fateh dan Aaira yang memahami perjuangan ibu mereka bagi meraih segunung ilmu yang tidak ternilai harganya.
Teringat saya, di kala saya ada kelas setiap hujung minggu Fateh, si abang, akan bertanya, “Do you have class today, Mommy?”, “How long will it be?”, dan “Why do you have homework, Mommy?” Saat berulang alik ke kampus, suami setia menghantar dan menjemput saya tanpa sebarang kata-kata penat. Anak-anak menjadi teman menanti di muka pintu dan melambai. Apabila saya perlu menyiapkan tugasan, ada ketikanya mereka tertidur dipangku kerana sudah lewat malam. Itulah sedikit pengalaman saya dalam menghabiskan program Sarjana ini.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada semua tenaga pengajar dan rakan seperjuangan. Pengalaman dan perasaan ini pastinya tidak akan dirasai lagi, lebih-lebih lagi di saat berdebar ketika menduduki peperiksaan, membentangkan kertas kajian serta mengejar waktu serahan. Perkara paling saya syukuri ketika belajar di OUM adalah walaupun saat wabak Covid-19 melanda, kami masih boleh mengikuti kelas dalam talian malahan berjaya menamatkan pengajian. Semuanya adalah satu pengalaman yang sangat bernilai lebih dari harta dunia.
Sebutir intan permata terbaik dihasilkan dari dua perkara, iaitu suhu dan tekanan yang tinggi dari dalam perut bumi. Semakin tinggi suhu yang diterima dan semakin hebat tekanan yang diperoleh, jika ia mampu bertahan dan tidak hancur, maka ia bakal menjadi intan yang berkilau tiada tara, keras, kukuh serta mahal harganya.
Begitulah juga dengan kehidupan kita dalam proses menuntut ilmu, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bukan sekadar menuntut ilmu, bahkan dalam masa yang sama, mereka masih berkerjaya dan punya keluarga.
Hizatulhana bersama suami dan anak-anak berkongsi pengalaman indah sebagai graduan OUM.
Saya ingin menceritakan sedikit pengalaman yang tidak dapat saya lupa ketika saya bermula dulu. Orang pernah mengutuk saya kerana mengambil masa hampir lima tahun untuk menghabiskan program sarjana muda. Akan tetapi, kutukan itu menjadi kekuatan dan terdetik di hati saya untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Ilham untuk belajar di OUM hadir kerana saya memerlukan universiti yang membolehkan saya belajar, berniaga serta fokus pada keluarga pada masa yang sama. Dalam pencarian itu, saya telah memilih OUM.
Keesokan harinya, suami terus menghantar saya untuk mendaftar di OUM. Walaupun saya hadir tanpa sebarang asas dalam ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak ini, berkat komitmen yang tinggi daripada para pendidik, segenggam ijazah yang asalnya mustahil kini menjadi realiti. Alhamdulillah.
Pengalaman berharga di OUM banyak mematangkan kehidupan saya, mengajar saya ilmu-ilmu yang baru dalam bidang ini. Ilmu ini bukan sekadar untuk diluahkan di atas kertas peperiksaan, bahkan boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Semoga OUM akan terus melahirkan graduan cemerlang, pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk membangunkan negara dalam era globalisasi ini.
Akhir kata, buat rakan-rakan seperjuangan, walau ke mana pun kita selepas ini, jadilah umpama benih yang berbuah lebat dan terus memberi manfaat. Dilempar ke darat menjadi permata yang bersinar cemerlang. Dicampak ke laut, menjadi pulau penuh khazanah. Dicampak ke langit, menjadi bintang kejora yang bergemelapan.
Berilmu dan berbaktilah agar seluruh persada dunia tahu betapa hebatnya alumni OUM. Selamat menjadi duta OUM ke seluruh dunia!
Oleh Hizatulhana Shahadan